Friday, October 16, 2009

Must Read: Isu tatu

Panglima nafi ATM punyai polisi halang pengambilan kaum Iban miliki tatu jadi tentera

KUCHING: Panglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mazelan Kasap menjelaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mempunyai polisi atau dasar ketenteraan yang menghalang merekrut individu memiliki tatu.

“Isu ini cuma dipolitikkan sahaja.., mungkin terdapat individu yang tidak bertanggungjawab memainkan isu berkenaan dan saya berharap isu mengenai tatu ini tidak menjejaskan kredibiliti dan kemantapan ATM.

“Proses merekrut anggota ATM dilakukan mengikut prosedur dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan daripada pemberita semasa melawat ke Kem Malindo di Lubok Antu, Kem Tebedu dan Kem Serikin kelmarin.

Baru-baru ini, Presiden Serakup Dayak Iban Sarawak (SADIA) Sidi Munan mendakwa pihak tentera tidak mahu merekrut pemuda Iban yang bertatu.

Sidi berkata telah menerima beberapa aduan daripada masyarakat Iban yang sihat dan cergas kerana permohonan menyertai tentera telah ditolak hanya disebabkan tatu-tatu pada badan mereka.

“Kriteria ini tidak harus diguna pakai bagi masyarakat Iban kerana tatu ialah adalah sebahagian daripada kebudayaan mereka.

“Apa yang penting ialah kesetiaan dan keberanian mereka dalam mempertahankan negara (Malaysia) bukan tatu pada badan mereka,” katanya lagi.

Dalam lawatan berkenaan, Mazelan mengingatkan supaya anggota ATM tidak bersedih ketika bertugas di perbatasan pada musim perayaan.

Mazelan berkata, anggota tentera adalah benteng pertahanan pertama negara dan mereka wajib menunaikan tanggungjawab tanpa menghirau masa dan tempat khasnya ketika musim perayaan.

“Tidak pulang beraya merupakan perkara biasa kepada setiap anggota tentera dan meneruskan operasi tanpa perasaan takut diserang atau ditemui musuh.

“Suasana tenang tidak bermakna tiada musuh kerana sebagai anggota tentera kami perlu sedia bergerak pada bila-bila masa dan akur untuk bertugas walau di mana sahaja,” tegasnya.

“Hasil dari kemakmuran negara juga kawasan sempadan seperti Lubok Antu dan Serikin yang dahulunya hutan tebal telah membangun sebagai bandar kecil lengkap dengan pelbagai kemudahan,” tambahnya lagi.

Katanya, kebanyakan pintu masuk sempadan Sarawak-Kalimantan masih belum mempunyai Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) yang tetap dengan tugas mengawal lokasi berkenaan ketika ini diserahkan kepada ATM.

“Tanpa jasa dan pengorbanan anda semua (anggota ATM), tidak mungkin rakyat jelata dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dalam keadaan aman dan damai,” ujarnya lagi.



No comments:

Post a Comment